Rabu, 5 Disember 2012

Perumpamaan

1.  (Bagai) abu di atas tunggul [Sesuatu keadaan yang tidak tetap]

2.  (Seperti) anai-anai bubus [Menunjukkan betapa ramainya manusia dalam sesuatu perhimpunan]

3.  (Seperti) anak ayam kehilangan ibu [Akibat perceraian, orang yang ditinggalkan kehilangan pemimpin atau ibu bapa]

4. (Seperti) anjing bercawat ekor [Orang yang tidak mahu mengikut perubahan masa, pada hal keadaan di sekelilingnya telah berubah]

5. (Seperti) anjing berebut tulang [Orang tamak yang berebutkan bana]

6.  (Bagai) anjing buruk kepala [Orang jahat yang dibenci oleh masyarakat]

7.  (Seperti) anjing dengan kucing [Dua orang yang suka berkelahi apabila bertemu]

8.  (Seperti) anjing diketuk kepala, menjungkit ekornya [Berbuat baik bukan dengan orang yang sepatutnya, mengada-ngadalah dia]

9.  (Seperti) anjing menggonggong tulang [Orang yang mendapat sesuatu barang yang disukai akan bersifat tamak dan tidak akan memberikan barang itu kepada orang lain]

10. (Seperti) api dalam sekam [Kejahatan yang berlaku secara diam-diam]

11. (Bagai) aur atas bukit [Menyerahkan diri kepada nasib]

12. (Seperti) aur dengan tebing [Hidup tolong-menolong antara satu dengan lain/saling bergantung antara satu sma lain]

13. (Seperti) ayam berak kapur [Tubuh yang kelihatan letih dan lesu]

14.  (Bagai) ayam dibawa ke kepuk [Mendapat rezeki]

15. (Bagai) ayam disambar helang [Orang yang hilang dengan tiba-tiba]

16. (Bagai) ayam mengeram telur [Muka menjadi merah]

17. (Seperti) ayam patuk anaknya [Menghukum anak bukan bertujuan untuk menyeksa, tetapi untuk membaiki kelakuan si anak]

18. (Bagaimana) acuan begitulah kuihnya / Bagaimana rupa begitulah bayangnya [Seseorang anak akan mengikut tingkah laku bapanya]

19.  (Bagai) balak terendam [Orang gemuk yang malas bengerak]

20.  (Bagai) bajak wangkang makan berangkat [Orang yang gemar dipuji]

21.  (Seperti) batu jatuh ke lubuk [Hilang lenyap]

22.  (Seperti) Belanda minta tanah [Apa yang diambil lebih banyak danipada apa yang diminta]

23.  (Seperti) belangkas [Dua orang yang terlalu rapat perhubungannya dan tidak boleh dipisahkan]

24.  (Bagai) beliung dengan asahan [Tidak pernah berpisah]

25.  (Seperti) belut pulang ke lumpur [Orang yang pulang tempat asalnya setelah puas merantau]

26.  (Bagai) kain tiga hasta [Orang miskin yang serba tidak mencukupi]

27.  (Bagai) bertepuk sebelah tangan [Perasaan kasih sayang yang datang daripada sebelah pihak sahaja]

28.  (Seperti) beruk berayam [Seseorang yang mendapat harta pusaka yang banyak, tidak tahu menggunakan harta itu]

29.  (Bagai) berumah di tepi tebing [Selalu dalam kebimbangan]

30.  (Seperti) bertih digoreng [Bunyi pertuturan yang sangat petah]

31.  (Seperti) budak sapu hingus [Orang yang mendapat malu dalam sesuatu majlis]

32.  (Seperti) bulan dengan matahari [Sudah sepadan benar]

33.  (Seperti) bulan dipagari bintang [Seorang gadis yang cantik, dikelilingi pula oleh gadis-gadis cantik yang lain akan kelihatan lebih cantik lagi gadis itu]

34.  (Bagai) bulan jatuh ke riba [Mendapat untung banyak]

35.  (Bagai) bulan penuh purnama [Keadaan atau wajah yang begitu cantik)

36.  (Bagai) buluh ditarik songsang [Menunjukkan kesukaran mempengaruhi seseorang atau sesuatu kumpulan mengikut seperti yang dikehendaki]

37.  (Bagai) bumi dengan langit [Perbezaan yang terlalu besar]

38. (Bagai) bunga raya kembang pagi [Menggambarkan orang yang berkulit putih, mukanya selalu merah]

39.  (Umpama) bunga mekar dipakai, layu dibuang [Perasaan kasih yang tidak kekal yang boleh bertukar benci apabila ada kekurangan]

40.  (Seperti) buntal kembung [Seseorang menjadi malas akibat terlalu kenyang]

41. (Bagaimana) bunyi gendang, begitulah tarinya [Bagaimana perintah, begitulah yang dituruti dan bagaimana aksi begitulah reaksinya]

42.  (Seperti) burung gagak pulang ke benua [Orang yang baru pulang dan merantau, tetapi perangainya seperti dahulu juga]

43.  (Umpama) burung, mata terlepas, badan terkurung [Keadaan hidup seseorang yang berada dalam kawalan orang lain walaupun diberi kebebasan]

44.  (Bagai) cacing gila [Perempuan yang suka bertandang dan berpergian]

45.  (Bagai) cacing kena air panas [Selalu gelisah kerana susah, sakit, malu, dan lain-lain]

46.  (Bagai) cembul dapat tutupnya [Sesuai benar]

47.  (Seperti) cicak makan kapur [Mendapat malu dalam sesuatu majlis kerana kesalahan sendiri]

48.  (Seperti) cincin dengan permata [Pasangan yang amat sesuai dan sepadan]

49.  (Bagai) dakwat dengan kertas [Tidak pernah bercerai atau sangat padan]

50.  (Bagai) denai gajah lalu [Tidak boleh menyembunyikan sesuatu perkara yang besar]

51.  (Bagai) dihiris dengan sembilu [Rasa sakit dan pedih hati]

52.  (Umpama) duduk di atas daun [Seseorang yang sentiasa gelisah dan tidak tenteram]

53.  (Bagai) daun dalam daging [Sesuatu hal yang tidak menyenangkan hati]

54.  (Umpama) durian dengan mentimun, menggolek binasa, kena golek pun binasa [Orang yang lemah tidak berdaya untuk menentang orang yang berkuasa dan menerima kerugian]

Selasa, 4 Disember 2012

Simpulan Bahasa

  1. Ambil berat
    Memberikan perhatian
  2. Ambil hati
    Membuat sesuatu untuk menggembirakan orang lain
  3. Ambil masa
    Tidak tergopoh-gopoh; memakan masa
  4. Anak angkat
    Anak orang lain yang dianggap / dijadikan seperti anak sendiri
  5. Anak bapa
    Anak lelaki kesayangan sesebuah keluarga
  6. Anak beranak
    Sekeluarga
  7. Anak buah
    Orang yang di bawah jagaan seorang ketua
  8. Anak buangan
    Orang yang tersingkir daripada sesebuah keluarga
  9. Anak cucu
    Keturunan; zuriat
  10. Anak dara
    Gadis yang belum berkahwin
  11. Anak dayung
    Orang yang mendayung perahu
  12. Anak emas
    Anak kesayangan
  13. Anak haram
    Anak luar nikah
  14. Anak kembar
    Anak yang dilahirkan bersama-sama daripada satu kandungan
  15. Anak sulung
    Anak yang tertua atau pertama
  16. Angin-angin
    Khabar yang belum tentu benar salahnya
  17. Angin berkisar
    Berpaling tadah
  18. Angin buritan
    Angin yang mengikut arah perahu
  19. Angin gila
    Kelakuan yang tidak tentu arah
  20. Angin lalu
    Khabar yang tidak tentu benar atau salahnya
  21. Angin ribut
    Taufan
  22. Angkat alis
    Menunjukkan rasa atau tanda hairan
  23. Angkat bahu
    Menyatakan tidak tahu
  24. Angkat diri
    Sombong
  25. Angkat suara
    Meninggikan suara
  26. Angkat sumpah
    Bersumpah
  27. Asam garam
    Pengalaman hidup
  28. Atas angin
    Negara-negara di Timur Tengah dan Eropah
  29. Atas pagar
    Tidak menyebelahi mana-mana pihak
  30. Ayam tambatan
    Orang harapan dalam sesuatu pertandingan atau perlawanan
  31. Bahasa daerah
    Bahasa yang digunakan di daerah tertentu sahaja
  32. Bahasa kesat
    Bahasa atau tutur kata yang kasar, kotor, dan menyakitkan hati
  33. Bahasa ibunda
    Bahasa sendiri
  34. Bahasa dalam
    Bahasa yang digunakan oleh raja-raja
  35. Bangkai bernyawa
    Orang yang tidak berguna langsung
  36. Banyak akal
    Banyak helah
  37. Banyak lemak
    Kelakuan yang mengada-ngada
  38. Banyak mulut
    Suka bercakap banyak
  39. Bapa ayam
    Lelaki yang berkahwin banyak tetapi tidak menghiraukan anak-anaknya
  40. Barang berkat
    Barang yang halal
  41. Barang kemas
    Barang-barang berharga yang dipakai oleh kaum wanita, seperti cincin emas, loket berlian, dan sebagainya
  42. Batu api
    Orang yang menghasut dua pihak yang lain sehingga bergaduh
  43. Batu loncatan
    Sesuatu yang digunakan untuk mencapai sesuatu tujuan
  44. Bau-bau bacang
    Tali persaudaraan yang jauh
  45. Bawa berunding
    Diajak bermuafakat
  46. Bawa bermenung
    Memikirkan masak-masak
  47. Bawa bersemuka
    Bawa bertemu muka; berunding
  48. Bawa hati
    Perasaan kecewa
  49. Bawa kaki
    Berjalan tanpa hala tujuan
  50. Bawa ke tengah
    Bawa ke muka pengadilan
  51. Bawah angin
    Negara-negara yang terletak di sebelah timur
  52. Bawah umur
    Belum dewasa
  53. Bekas tangan
    Hasil buatan sendiri; pukulan
  54. Bengkak perut
    Sakit hati
  55. Berani mati
    Tidak takut mati
  56. Berat kepala
    Sukar menerima pelajaran
  57. Berat lidah
    Pendiam
  58. Berat mata
    Mengantuk
  59. Berat sebelah
    Tidak adil
  60. Berat tulang
    Malas bekerja
  61. Berbulan madu
    Bersiar-siar ke tempat lain setelah berkahwin
  62. Berganti tikar
    Mengahwini kakak atau adik isterinya setelah isterinya meninggal dunia
  63. Beri muka
    Memberikan kebebasan atau memanjakan seseorang
  64. Bermain kayu tiga
    Melakukan perbuatan yang jahat
  65. Bertegang leher
    Bertengkar
  66. Besar hati
    Gembira
  67. Besar kepala
    Degil
  68. Bidan terjun
    Orang yang disuruh membuat sesuatu secara mendadak
  69. Bintang hati
    Kekasih
  70. Bodoh alang
    Bodoh sedikit
  71. Bodoh sepat
    Kelihatan bodoh tetapi sebenarnya cerdik
  72. Bongkok sabut
    Bongkok orang tua
  73. Buah fikiran
    Pendapat
  74. Buah mulut
    Perkara yang menjadi percakapan orang ramai
  75. Buat duit
    Melakukan sesuatu pekerjaan yang mendatangkan keuntungan
  76. Buaya darat
    Lelaki yang suka menukar teman wanitanya
  77. Buka mata
    Ambil tahu atau sedar
  78. Buruk makan
    Gelojoh atau pelahap
  79. Buta huruf
    Tidak tahu menulis dan membaca
  80. Cacing kepanasan
    Gelisah
  81. Cahaya mata
    Anak
  82. Gaji buta
    Gaji yang diterima tanpa bekerja
  83. Cakap angin
    Percakapan yang belum tentu betul salahnya
  84. Cakar ayam
    Tulisan yang buruk
  85. Cakap besar
    Mengatakan tahu atau pandai, tetapi sebenarnya tidak pandai
  86. Campur aduk
    Bercampur dengan tidak menentu lagi
  87. Campur tangan
    Turut serta dalam urusan orang lain
  88. Cangkul angin
    Perbuatan yang sia-sia
  89. Cantik molek
    Elok rupa paras
  90. Cari akal
    Mencari jalan
  91. Cari fasal
    Sengaja mencari sebab untuk bergaduh
  92. Cari nama
    Berikhtiar atau membuat jasa supaya nama menjadi masyhur
  93. Cencaru makan petang
    Permainan yang semakin baik pada akhir pertandingan
  94. Cepat tangan
    Orang yang cekap mencari
  95. Cinta monyet
    Cinta anak-anak kecil
  96. Curi hati
    Melakukan daya penarik untuk memikat hati orang supaya mendatangkan kasih
  97. Curi tulang
    Mengelak daripada bekerja semasa waktu kerja
  98. Dakap bantal
    Kecewa atau putus harapan
  99. Daki dunia
    Harta benda seperti wang, emas, permata, dan lain-lain.
  100. Dalam tangan
    Sudah tentu dapat
  101. Dapat bahagian
    Menerima pukulan atau denda
  102. Dapat terpijak
    Mendapat sesuatu dengan mudah
  103. Darah ikan
    Buah yang baru separuh masak; warna yang merah
  104. Darah daging
    Anak kandung
  105. Darah muda
    Semangat atau perasaan orang muda
  106. Datang hati
    Sampai hati atau tergamak
  107. Daya penarik
    Mempunyai sesuatu kebolehan atau kuasa yang boleh memikat hati seseorang
  108. Delima merkah
    Bibir yang merah
  109. Demam puyuh
    Berpura-pura demam
  110. Dendam kesumat
    Kebencian yang amat sangat
  111. Diam ubi
    Diam orang berakal kerana berfikir
  112. Diam penggali
    Diam orang yang bodoh
  113. Dingin kepala
    Berfikiran tenang dan sihat
  114. Dua sejoli
    Sepasang (kekasih atau suami isteri)
  115. Duit kopi
    Bayaran tidak rasmi sebagai sagu hati
  116. Durian runtuh
    Keuntungan besar yang diperoleh tanpa bersusah payah
  117. Garam hidup
    Pengalaman hidup
  118. Gatal mulut
    Suka mencela orang
  119. Gatal tangan
    Suka melakukan kerja yang bukan-bukan
  120. Gelap mata
    Hilang pertimbangan fikiran; pitam
  121. Geli hati
    Rasa hendak ketawa
  122. Gelora hati
    Perasaan hati
  123. Genap bulan
    Sudah cukup masa (melahirkan anak)
  124. Genggam bara
    Membuat sesuatu pekerjaan dengan tidak bersungguh-sungguh
  125. Gerak hati
    Rasa yang lahir dari dalam hati
  126. Gerhana matahari
    Dalam kesusahan
  127. Gila babi
    Sejenis penyakit sawan
  128. Gila bahasa
    Kurang waras fikiran
  129. Gila bayang
    Mencintai seseorang tetapi tidak mendapat balasan
  130. Gila harta
    Mementingkan atau mengejar harta dunia
  131. Gila pangkat
    Orang yang selalu mengejar pangkat
  132. Golok kayu
    Orang yang bodoh tetapi berlagak seperti orang yang pandai
  133. Gulung tikar
    Berhenti membuat sesuatu pekerjaan kerana kerugian
  134. Habis akal
    Tidak tahu apa yang harus dilakukan lagi
  135. Halwa telinga
    Sesuatu yang menyedapkan pendengaran
  136. Hampa tangan
    Tidak membawa atau mendapat apa-apa
  137. Hancur hati
    Sedih
  138. Hanyut diri
    Sesat langkah
  139. Harga diri
    Kehormatan diri; maruah
  140. Harga pokok
    Harga asal sesuatu barang
  141. Harga mati
    Harga yang tetap dan tidak boleh ditawar lagi
  142. Hati batu
    Tidak menaruh belas kasihan
  143. Hati emas
    Baik hati
  144. Hati tikus
    Penakut
  145. Hentam keromo
    Memukul atau mengkritik tanpa usul periksa
  146. Hidung belang
    Lelaki yang suka mengganggu perempuan
  147. Hidung tinggi
    Sombong atau bongkak
  148. Hilang akal
    Tidak tahu apa yang harus dibuat lagi; agak kurang waras
  149. Hisap darah
    Mengambil keuntungan yang berlebihan
  150. Hisap jari
    Menunjukkan kekecewaan

Simpulan Bahasa

  1. Abang angkat
    Lelaki yang lebih tua daripada seseorang yang tidak mempunyai pertalian keluarga tetapi dianggap sebagai abang sendiri
  2. Abang ipar
    Abang kepada isteri atau suami seseorang
  3. Abang kandung
    Abang seibu dan sebapa
  4. Abu jahal
    Orang yang suka menghalangi usaha yang baik
  5. Abu nawas
    Orang yang bijak melepaskan diri
  6. Ada angin
    Mempunyai perasaan yang tertentu mengikut keadaan
  7. Ada bakat
    Mempunyai kebolehan dalam sesuatu bidang
  8. Ada bukti
    Ada tanda atau keterangan tentang sesuatu hal atau peristiwa
  9. Ada hajat
    Mempunyai keinginan atau maksud
  10. Ada hati
    Mempunyai keinginan lebih daripada keupayaan
  11. Ada jalan
    Ada cara untuk melakukan sesuatu
  12. Air muka
    Wajah atau rupa seseorang
  13. Ajak-ajak ayam
    Tidak sungguh-sungguh mempelawa
  14. Akad nikah
    Perjanjian dalam perkahwinan
  15. Akal kancil
    Orang yang cerdik dan pandai menipu
  16. Alas cakap
    Kata pendahuluan sebelum perundingan atau perbincangan dijalankan
  17. Alas dulang
    Wang hadiah yang ditinggalkan dalam dulang
  18. Alas meja
    Kain penutup meja
  19. Alas perut
    Makan sedikit untuk menghilangkan rasa lapar
  20. Ambil angin
    Bersiar-siar




Rabu, 28 November 2012

Karangan Autobiografi

Hari ini mari kita lihat cara menulis karangan Autobiografi. Diharap contoh ini dapat membantu untuk menulis karangan autobiografi yang lain. Sumber: Tn.Hj Abdullah B Hussain(SK Panchor) Aku Sebuah Kereta
klik laman ini

Isnin, 26 November 2012

Teka silang kata


Assalamualaikum,

Entri kali ini kita rehatkan minda sekejap dengan menjawab teka silang kata. Agak-agaknya boleh jawab tak? Apa-apa pun cuba dulu ya.....Jadi  jom kita layannnnnn teka silang kata.


TEKA SILANG KATA SIMPULAN BAHASA



Melintang

1.     bercakap besar tanpa ilmu

5.     tajam pendengaran

6.     sukar untuk membuat keputusan

8.     kurang jelas pendengarannya, tidak dapat mendengar bunyi yang kuat

9.     tergamak melakukan sesuatu perkara yang tidak disangka-sangka



Ke Bawah

2.     orang yang jahat dan suka mengganggu orang lain

3.     cepat-cepat lari kerana ketakutan

4.     melakukan sesuatu tanpa berfikir

6.     negara-negara di sebelah timur
7.     anak yang disayangi oleh ibu bapa atau ketuanya



Jumaat, 23 November 2012

Teater Bercerita

Post kali ini mari kita bersantai sekejap untuk merehatkan minda sambil menonton video yang bertajuk " Keracunan Makanan ". Buat rakan-rakan sealiran, sekali sekala kita perlu mengubah sedikit kaedah pengajaran kita demi menarik minat murid. Antara tujuan Teater Bercerita adalah untuk:
  • menghibur pelajar sambil belajar
  • melatih kemahiran lisan, bacaan dan tulisan
  • menambahkan perbendaharaan kata, pembentukan ayat dan ungkapan
  • mengasah bakat lakonan
  • memupuk sikap kerjasama, toleransi dan disiplin
  • murid berhibur sambil bercerita
 

Selasa, 20 November 2012

Baru teringat pantun-pantun dua kerat yang selalu murid-murid cikgu buat. Antaranya:
1) pen merah pen biru,
    you marah i love you... (pernah dengarkan ????)

2) pecah kaca pecah gelas,
    lepas baca harap balas.

3) pagi-pagi tengok bintang,
    kawan-kawan cikgu datang.

Rasa-rasa cikgulah...mesti ada yang lebih kreatif dari pantun ini. So jangan lupa rekalah pantun dua baris @ dua kerat mengikut kreativiti anda.

Khamis, 15 November 2012

Penulisan bahagian C Bahasa Melayu (MULUS)

 Assalamualaikum....untuk memudah dan memahami lagi cara menulis Penulisan bahagian A dan C, anda bolehlah muat turun fail-fail ini dan yang terdahulu. Cikgu berharap ianya dapat membantu...Cikgu mendapat program MULUS ini sewaktu menghadiri kursus anjuran PPD Manjung. Jadi kita kongsi ilmu bersama-sama. Semuga ianya memberi manafaat kepada semua hendaknya.....

sila muat turun fail ini....
https://docs.google.com/open?id=0BwMnVALqpFNXelduUS1wcWRwbDA

Penulisan bahagian A Bahasa Melayu ( MULUS) - murid

Sila muat turun fail ini...
https://docs.google.com/open?id=0BwMnVALqpFNXS0dZZGJscnlmeFk

Penulisan bahagian A Bahasa Melayu (MULUS)- guru

Untuk mengetahui cara-cara penulisan bahagia A sila muat turun fail ini.

https://docs.google.com/open?id=0BwMnVALqpFNXRmZVVndzTGxRam8


Modul Mulus Penulisan (A) sk JPN Perak

Untuk mengetahuai cara menulis ringkasann harian sila muat turun fail di alamat ini. https://docs.google.com/open?id=0BwMnVALqpFNXM21SLXA4Ri1PSjQ

Khamis, 8 November 2012

Pantun

Assalamualaikum....
     Esok hari terakhir persekolahan. Pastinya ada pelbagai rancangan atau program cuti sekolah untuk membawa anak-anak bercuti oleh ibu dan ayah. Di samping bercuti jangan lupa buku-buku yang perlu dibaca buat persediaan tahun hadapan.
     Cuti-cuti juga ya... jadi untuk mengisi masa lapang, cikgu Intan ingin mengajar semua yang sudi  belajar serba sedikit tentang pantun pula. Di sini serba sedikit tentang PANTUN. Perkara yang paling ketara bagi pantun ialah rimanya, iaitu rima akhir yang bersilih  a - b - a - b. Lazimnya ikatan pantun ialah empat baris, dan rima akhir ialah a-b-a-b. Tetapi pantun juga terdiri daripada ikatan yang lebih daripada empat baris, seperti enam, lapan atau sepuluh baris. Apa yang paling penting ianya mesti ada pasangan antara baris-baris itu.
    Terdapat pelbagai jenis pantun:
  • Ungkapan Bersajak atau Pantun Dua Baris
  • Pantun Kanak-kanak
  • Pantun biasa spt: Pantun Berkasih-sayang, Pantun Teka-teki, Pantun Meminang, Pantun 6,8,10 dan 12 baris dan sbgnya.
  • Pantun Berkait
Hari ini mari kita sama-sama belajar dan mencipta pantun Ungkapan Bersajak atau Pantun Dua Baris.
Contoh:
        a)  Tua-tua keladi,
             Makin tua makin menjadi.

        b)  Tokok takal muka pintu,
              Orang nakal memang begitu

        c)  Secupak padi, setahil berangan,
             Tersepak kaki, terkehel tangan.
        
        d)  Banyak udang banyak garam,
             Banyak orang banyak ragam

Latihan : Cuba cipta sendiri pantun dua baris.

1)  .......................................................................
     .......................................................................
2)  .......................................................................
     .......................................................................

Selamat Mencuba ya....


 


        






Isnin, 8 Oktober 2012

Assalamualaikum,
       Untuk makluman murid-murid yang  hendak belajar membina ayat bersama cikgu Intan, di sini cikgu ingin memberi beberapa panduan bagi yang belum mahir. Mula-mula, apabila murid-murid hendak membina ayat pastikan kata kuncinya dahulu iaitu "kata kerja". Seterusnya, bina ayat berperingkat-peringkat tetapi jangan lupa gunakan perkataan di bawah sebagai panduannya. Bagi mencantikan ayat, gunalah kata bantu.
   a)  siapa            b) buat  apa
contoh :      mendayung
                  Pak Abu sedang mendayung sampan.


Bagi murid yang agak mahir ( kumpulan B)  boleh ditambahkan dengan  c) di mana agar ayat tersebut menjadi lebih panjang.
contoh :      Pak Abu sedang mendayung sampan di tengah laut.


 Manakala bagi murid yang telah mahir ( kumpulan A ) bolehlah ditambahkan dengan d) bila dan sebagainya bagi membina ayat-ayat yang lebih gramatis lagi mengikut kesesuaian gambar.
contoh :     Pak Abu sedang mendayung sampan di tengah laut pada waktu pagi.
                   Pak Abu sedang mendayung sampan di tengah laut untuk menjala ikan.


Selamat mencuba....... 

Ahad, 7 Oktober 2012

Latihan membina ayat berdasarkan gambar.


menghulur

siapa                buat apa              di mana              bila

Untuk membina ayat, murid-murid perlulah menggunakan perkataan di atas sebagai panduan untuk membina ayat yang lengkap.
Contoh : 
             
 Kak Sakinah sedang menghulur makanan kepada seekor kanggaru di Taman Kanggaru pada  minggu yang lalu.

Latihan: 



1.   berendam

ayat :.......................................................................................................................................




2.  menunggang

ayat:..........................................................................................................................................